Sunday, July 19, 2015

Kisah Pemuda dan RM15,000

Ayahku seorang Ejen Hartanah. Apakah kerja seorang Ejen Hartanah? Berdasarkan apa yang aku perhatikan, seorang Ejen Hartanah menyewakan atau menjual sebuah premis sama ada kedai ataupun rumah. Termasuk tanah dan bangunan juga.

Oh well,

Harta +Tanah = Hartanah.

Tapi ayah aku tak masuk bahagian tanah.

Selama lebih kurang 10 tahun ayahku bekerja sebagai Ejen Hartanah, sudah macam-macam cerita yang aku dengar daripadanya. Kerenah pembeli, penyewa dan tuan rumah. Majoriti ‘customer’ ayah ada orang Melayu dan Cina. Ayah pernah berkata bahawa berurusan dengan orang Melayu lebih mudah. Mungkin kerana mereka tidak banyak songeh(kerenah).
*Ayah aku orang Cina.

Tapi bukan itu yang aku nak ceritakan.

Satu daripada kisah yang pernah ayah aku ceritakan dan masih melekat dalam kepala otak aku.
Kisahnya tentang seorang pemuda yang ingin menyewa kedai melalui ayahku. Ya, itulah kerja seorang Ejen Hartanah. Sebagai pengantara antara Pembeli/Penyewa dan Tuan Rumah/Kedai. Dan Tuan Rumah akan memberi komisen kepada ejen hartanah yang menguruskan proses pembelian atau penyewaan itu.

Ayah telah membawa pemuda itu untuk melihat kedai tersebut dan berjumpa dengan tuan kedai tersebut. Kedua-dua pihak telah bersetuju.
Jika mengikut kontrak, penyewa akan diberi sebulan (bergantung kepada owner) percuma untuk renovate kedai.

Pemuda itu pun mulakan renovation kedai.

Tiba-tiba…..

Pada suatu hari, owner berkata dia tidak jadi hendak sewakan kedai tersebut kepada pemuda itu sedangkan renovation sedang dijalankan. Pemuda itu telah belanjakan RM15,000 untuk renovation tersebut.

Ayah terpaksa menyampaikan berita kurang gembira tersebut kepada pemuda itu.

“Oh, ye ke? Takpe lah. Takda rezeki.”

Ayahku agak terkejut dengan respon pemuda itu. Begitu tenang dia menerima berita tersebut.

Kebetulan azan berkumandang, pemuda itu mengajak ayah ke masjid yang berhampiran.
Selepas solat, pemuda itu menceritakan kisah lampaunya, di mana dahulu dia merupakan seorang Mat Rempit. Dan tahu-tahu sajalah bagaimana kehidupan seorang mat rempit. Dan bagaimana sekarang dia sudah insaf.

Kisahnya biasa sahaja, tapi kisahnya membuatkan aku berfikir.

Aku pernah baca sesuatu yang ditulis oleh Bahruddin Bekri (tidak ingat sama ada status FB-nya atau di dalam bukunya). Dia mengatakan bahawa kadang-kadang manusia yang dahulunya jahat, jika mereka insaf, mereka lebih ikhlas dalam ibadah mereka, mereka lebih berusaha dalam memahami Islam daripada mereka yang dikatakan baik, tidak pernah melakukan kesalahan dan tidak pernah meninggalkan solat.

Bagi aku, betul juga apa yang diperkatakan.

Sebagai seorang pendosa, yang pernah melakukan dosa yang baginya besar, pastinya lebih tahu tentang erti kesal dan insaf. Pasti merasakan dirinya itu sangat kotor dan jijik. Dan merasakan seolah-olah Allah tidak akan mengampuni mereka dan tinggal masa yang singkat sahaja untuk bertaubat.

Mungkin kerana itulah, mereka lebih ikhlas dan lebih berusaha untuk mencari dan memahami Islam.

Fikir-fikirkan lah.


No comments:

Post a Comment